Published: 12 January 2012
Oleh Zuraidah Mohamed
zmohamed@bharian.com.my
PERBADANAN Nasional Bhd (PNS), agensi kerajaan yang diberi mandat untuk menerajui pembangunan industri francais di Malaysia menyediakan dana khas dengan peruntukan awal sebanyak RM10 juta bagi membantu usahawan francais tempatan mengembangkan perniagaan ke luar negara.
“Ini adalah antara inisiatif diperkenalkan seiring pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional yang dilancarkan baru-baru ini, bagi memastikan industri francais negara terus mantap dan dinamik.
“Tidak dinafikan ramai yang memilih sistem francais bagi memulakan dan mengembangkan perniagaan. Namun, PNS menggalakkan syarikat yang sudah kukuh untuk mengembangkan perniagaan ke luar negara daripada bersaing sesama sendiri di pasaran tempatan.
“Apa pun kita mahu melihat dulu sambutan yang diterima bagi dana ini,” katanya kepada Berita Harian, di Kuala Lumpur.
Beliau berkata, PNS menyasarkan mengagihkan semua peruntukan awal dana itu tahun ini dan sebagai permulaan pinjaman sehingga 80 peratus atau maksimum RM1 juta akan diberikan kepada syarikat yang layak.
Katanya, Dana Perkembangan Luar Negara itu adalah tambahan kepada tujuh skim pinjaman francais yang ditawarkan PNS ketika ini dengan had pinjaman daripada RM3,000 hingga RM2 juta, dan tempoh bayaran balik maksimum sehingga 10 tahun ke atas.
Sepanjang tahun lalu, katanya sebanyak 172 pinjaman bernilai RM21.04 juta telah diluluskan.
Sementara itu, Syed Kamarulzaman berkata, PNS setakat ini meluluskan pinjaman berjumlah RM620,700 bagi Skim Pembiayaan Kecil Francais yang diperkenal-
kan Jun tahun lalu kepada 46 francaisi.
Katanya, skim dengan peruntukan sebanyak RM8 juta itu ditawarkan kepada francaisi tempatan yang berpendapatan kecil dan sederhana dengan pembiayaan maksimum sehingga RM50,000.
“Kami menyasarkan mengagihkan semua dana ini tahun ini berdasarkan sambutan yang memberangsangkan. Daripada 85 syarikat yang memohon, 46 telah diluluskan,” katanya.
No comments:
Post a Comment