Source From (Business Times): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm
Published: 17 January 2012
Oleh AINUL ASNIERA AHSAN
bisnes.utusan@gmail.com
SYABAS kepada Malaysia Development Holding Sdn. Bhd., syarikat khas
milik Kementerian Kewangan di atas keupayaan mereka mewujud dan
menjayakan Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (Sara 1Malaysia).
Sara 1Malaysia telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2012 bertujuan meningkat pendapatan
boleh guna untuk turut menjana ekonomi dan menggalakkan minat melabur
di kalangan golongan berpendapatan rendah.
Skim itu juga bertujuan membantu golongan terbabit menangani kesan kenaikan kos sara hidup semasa.
Golongan sasaran Sara 1Malaysia terutama yang belum pernah melabur
sudah pasti gembira kerana inilah masa terbaik untuk merebut peluang
pelaburan yang diberikan kerajaan.
Pakej yang diberikan melalui Sara 1Malaysia memang menarik - melalui
pinjaman sebanyak RM5,000 (bukan tunai), para peserta dijamin mendapat
insentif tambahan sebanyak RM134 sebulan.
Seperti kata Perdana Menteri, Sara 1Malaysia adalah pakej terbaik
seumpamanya di dunia - bermakna tidak ada kerajaan lain di dunia ini
menawarkan bentuk bantuan yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh
golongan berpendapatan rendah.
Masakan tidak, jika mengambil kira bayaran ansuran bank yang perlu
dibayar setiap bulan sebanyak RM86 untuk tempoh lima tahun, para peserta
skim masih mempunyai RM50 untuk duit poket.
Sudahlah menikmati kadar faedah pinjaman terendah dalam pasaran, insentif RM50 sudah terjamin setiap bulan.
Dengan jumlah RM50 itu sekiranya disimpan dan dilabur semula dalam
Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) yang diuruskan oleh Permodalan Nasional
Bhd., genap setahun mereka akan menerima RM600.
Seorang penganalisis berkata, jumlah pulangan RM600 yang diterima itu
pun adalah dua kali ganda lebih tinggi jika mengambil kira pembayaran
dividen sebanyak enam peratus oleh PNB.
Ternyata Sara 1Malaysia memperlihatkan kesungguhan kerajaan untuk
membantu golongan rakyat berpendapatan rendah meningkatkan pendapatan
boleh guna.
Malah, seorang jemputan yang duduk di sebelah penulis ketika
menghadiri pelancaran skim itu sambil menggeleng kepala berkata,
alangkah beruntung golongan berpendapatan rendah di negara ini.
Nasib golongan itu bukan sahaja terbela dengan pelbagai bentuk
bantuan tetapi turut diberi peluang dan kemudahan pelaburan dengan
pulangan yang cukup lumayan.
Justeru, kepada rakyat Malaysia yang berkelayakan, ayuh jangan
ketinggalan menyertai skim tersebut kerana peluangnya adalah terhad.
Dan, mereka yang berjaya pula, diharapkan Sara 1Malaysia menjadi
laluan pertama bagi menyemai sikap dan amalan menabung untuk masa depan.
No comments:
Post a Comment