Wednesday, March 7, 2012

Wawasanita pasar produk di Sogo

Source From (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/WawasanitapasarprodukdiSogo/Article/index_html

Published: on 07 March 2012

PERSATUAN Usahawan Wawasan Wanita Malaysia (Wawasanita), berhasrat memasarkan produk usahawan di bawah kendaliannya di kompleks beli-belah tempatan, Sogo Kuala Lumpur, dalam tempoh tiga bulan lagi.
Presidennya, Noor Hayati Ab Rahman berkata, program dinamakan Dari Soho ke Sogo itu adalah satu usaha dijalankan dengan kerjasama Shamshul Smart Ventures bagi memperkasakan konsep keusahawanan rumah kecil pejabat kecil (Soho). “Melalui program ini, ahli Wawasanita akan dilatih mempelajari modul perniagaan serta teknik pemasaran yang betul bagi mendidik mereka memikat pelanggan dan menempatkan produk di lokasi yang tepat,” katanya.

Menurutnya, selain Sogo, pihaknya turut mengintai peluang memasarkan produk di beberapa lokasi lain antaranya rangkaian kedai Mesra Petronas, Tesco, Jusco dan Carrefour dalam tempoh enam bulan akan datang. “Buat masa ini, kami dalam proses memastikan usahawan dapat menjana kapasiti yang diperlukan untuk memenuhi kehendak pasar raya ini,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan rakan strategik di Kuala Lumpur, semalam.
Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.

Menurutnya, persatuan meletakkan sasaran untuk melatih lebih 120 usahawan di bawah program selama setahun itu. “Bagi usahawan yang mahu menjalankan perniagaan dari rumah, mereka boleh mengambil bahagian dalam Soho Wellness Hub, sebuah perniagaan kecantikan dan kesihatan, hasil daripada perkongsian kami dengan Agel Malaysia dan Zazen Health Solutions,” katanya.

Noor Hayati berkata, melalui program Dari Soho ke Sogo itu, semua ahli berdaftar dengan Wawasanita berpeluang menempatkan produk mereka di Sogo dan ia dilakukan secara bergilir.

“Buat permulaan, setiap produk akan ditempatkan dalam tempoh masa yang diberikan dan sekiranya produk berkenaan mendapat sambutan baik di kalangan pelanggan, maka ia akan diberikan ruang khas dengan kadar bayaran minimum,” katanya.

Menurutnya, selain makanan, koleksi pakaian juga antara produk yang akan dipasarkan di pusat beli-belah berkenaan dan ia dijangka dimulakan menjelang Ramadan nanti.

No comments: