Published: on 09 March 2012
ALLIANCE Bank Malaysia yakin dapat mencatat pertumbuhan 15 hingga 17 peratus dalam segmen perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi tahun kewangannya yang berakhir pada 31 Mac 2013, sama seperti dicatatkan pada tahun sebelum.
Ketua Perbankan PKSnya, Steve Miller berkata, pertumbuhannya akan dipacu oleh transaksi perbankan seperti perdagangan dan kutipan pembayaran.
“Kami yakin dengan potensi ditawarkan segmen PKS kerana di Malaysia terdapat lebih 600,000 syarikat beroperasi dalam skala kecil dan sederhana.
“Berikutan itu kami yakin segmen ini akan memberi sumbangan positif dalam pertumbuhan prestasi kewangan kami,” katanya.
Menurutnya, antara faktor utama menyumbang pertumbuhan itu adalah produk pembiayaan ditawarkan untuk jangka panjang.
“Kebanyakan syarikat PKS adalah perniagaan keluarga yang dijalankan beberapa generasi dan di kalangan pemilik perniagaan ini, mereka tidak begitu mementingkan soal penjenamaan sebaliknya mengutamakan ketahanan perniagaan itu untuk disambung generasi seterusnya,” katanya selepas pelancaran MyBusiness Platinum Card di Kuala Lumpur, semalam.
Kad berkenaan memberi peluang penjenamaan kepada pemilik perniagaan PKS dengan memaparkan logo, imej atau produk yang dimiliki pada kad itu.
“Ia juga menawarkan pengembalian tunai sehingga 1.25 peratus khususnya bagi jumlah perbelanjaan kad bulanan,” katanya.
No comments:
Post a Comment