Friday, January 20, 2012

DPMM mahu wujud dana khas dwifungsi

Source From (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/DPMMmahuwujuddanakhasdwifungsi/Article

Published: 20 January 2012
Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my

Tingkat pemilikan ekuiti Bumiputera dalam korporat 

DEWAN Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) sedang merancang mewujudkan sebuah dana khas dwifungsi bagi memperkasakan lagi sokongan terhadap usaha meningkatkan peratusan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat di negara ini.
Presidennya, Syed Ali Alattas, berkata dana itu yang pada permulaannya akan memiliki RM1 bilion akan digunakan sebagai pinjaman kepada usahawan Bumiputera untuk terbabit dalam perniagaan, khususnya yang berkonsepkan francais di dalam dan luar negara, serta untuk membiayai pengambilalihan syarikat oleh DPMM pada masa depan.
Beliau berkata, pihaknya sedang merangka kertas kerja dan berbincang dengan beberapa pihak termasuk bank dan agensi kerajaan bagi tujuan itu.

“Penubuhan dan cara pelaksanaan dana berkenaan kini sedang dikaji dan diperhalusi pihak yang terbabit, termasuk DPMM, agensi kerajaan dan bank.

“Berdasarkan maklum balas positif diterima daripada agensi kerajaan dan bank yang terbabit, DPMM yakin ia boleh ditubuhkan dan beroperasi tahun ini,” katanya pada taklimat media di pejabat DPMM di Kuala Lumpur, semalam.

Syed Ali yang turut terbabit dalam penubuhan Bank Bumiputera pada tahun 60-an itu turut berharap apabila beroperasi kelak, dana itu mampu menyediakan pinjaman kepada semua golongan perniagaan Bumiputera di Malaysia.
“Dana itu juga akan bebas daripada kerenah birokrasi bagi mempercepatkan kelulusan dan penyaluran pinjaman,” katanya sambil menambah ia bukan hanya akan menyediakan pinjaman kepada peniaga kecil Bumiputera baru yang sukar mendapat pembiayaan daripada bank, tetapi juga kepada yang sudah lama beroperasi tetapi mahu membesarkan perniagaan.

Justeru, beliau menasihatkan peniaga Bumiputera merapatkan hubungan dengan dewan itu bagi mendapatkan pelbagai manfaat yang disediakan.

Sementara itu, Syed Ali berkata bermula Februari ini, DPMM akan mengadakan program penerangan bergerak ke seluruh negara bagi memberi penerangan khusus kepada masyarakat serta pihak berkepentingan lain, mengenai tanggungjawab institusi amanah Bumiputera.

Katanya, program yang bakal dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu akan mengetengahkan rasional penubuhan, kejayaan serta kegagalan institusi itu dalam melaksanakan tanggungjawabnya untuk meningkatkan peratusan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat negara ini.

“Program kelolaan DPMM itu sudah pun mendapat restu daripada Perdana Menteri dan ia akan berlangsung dengan kerjasama Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) sehingga Mei ini, di pelbagai peringkat bermula dari persekutuan, negeri serta daerah,” katanya sambil menamakan Johor Corporation (JCorp) sebagai antara institusi amanah Bumiputera yang gagal dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

Beliau mendakwa syarikat milik kerajaan negeri Johor itu dilihat sebagai ‘kapal yang akan karam pada bila-bila masa’ kerana dibebani oleh hutang, selain melaksanakan strategi menyelamat yang boleh memberi kesan buruk terhadap peniaga Bumiputera, khususnya yang terbabit dalam rangkaian industri makanan.

“Tawaran DPMM untuk mengambilalih kepentingan milik Kulim (Malaysia) Bhd dalam QSR Brands Bhd (QSR), ditolak mentah-mentah oleh mereka kerana kumpulan yang diketuai JCorp itu mahu menjualnya kepada pelabur asing untuk memperoleh duit secara mudah bagi membayar balik hutangnya.

“Akibatnya, ia secara tidak langsung akan mengakibatkan ramai peniaga Bumiputera dalam industri makanan khususnya pembekal ayam mentah kepada KFC Holdings (M) Bhd (KFCH) terjejas,” katanya sambil menggesa supaya pemegang saham lain dalam Kulim, termasuk Lembaga Tabung Haji untuk tidak melepaskan pegangan mereka.

No comments: