Published: 13 February 2012
Oleh Sri Ayu Kartikawati Amri
kartika@hmetro.com.my
PERBADANAN Usahawan Nasional Bhd (PUNB) komited untuk melahirkan lebih ramai pemborong Bumiputera tahun ini dengan menyasarkan untuk menyalurkan pembiayaan sekurang-kurangnya bernilai RM60 juta.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dzulkifli Fadzilah berkata, berbanding tahun lalu pihaknya sudah pun menyalurkan kira-kira RM44 juta menerusi Skim Pemborong Prosper dan yakin dengan peningkatan pembiayaan tahun ini ia akan membantu mewujudkan pemborong di kalangan Bumiputera dalam semua sektor.
Beliau berkata, pemborong memang diperlukan terutama dalam memastikan usahawan di bawah PUNB memperoleh barangan atau produk perniagaan mereka kerana bukan saja dapat memberi harga berdaya saing, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan.
“PUNB sudah meluluskan 165 pemborong membabitkan pembiayaan berjumlah RM300 juta sejak Skim Pemborong Prosper diperkenalkan pada 2006. Malah, pada tahun ini, kami yakin untuk meluluskan sekurang-kurangnya 40 pemborong.
“Antara sektor yang paling banyak permohonan daripada usahawan ialah tekstil, perkakasan seperti bahan binaan dan sektor peruncitan. Selain itu, tugas PUNB bukan saja sebagai pemberi pembiayaan, tetapi juga sama-sama membangunkan usahawan dengan memberi khidmat nasihat,” katanya kepada Bisnes Metro.
Menurutnya, PUNB juga berperanan untuk membuat pemantauan kepada perniagaan yang dijalankan usahawan bagi memastikan keseluruhan rantaian bekalan akan berjalan lancar.
Dzulkifli berkata, pihaknya juga akan memperbesarkan dan memperbanyakkan lagi bidang yang diberi tumpuan antaranya aksesori kanak-kanak dan bayi, pakaian berjenama dan produk digital dengan tidak hanya menumpukan kepada perniagaan tradisional sahaja.
“Selain itu, mana-mana milikan Bumiputera yang berdaftar di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 adalah layak untuk memohon bagi mendapatkan pembiayaan PUNB. Sekiranya syarikat tersebut didaftarkan di bawah Akta Syarikat 1965, individu Bumiputera perlu aktif dan memiliki sekurang-kurangnya 75 peratus pegangan saham di dalam syarikat terbabit,” katanya.
No comments:
Post a Comment