Monday, February 13, 2012

PKS wajar dapatkan perlindungan

Source From (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PKSwajardapatkanperlindungan/Article

Published: 13 February 2012
Oleh Shahrizan Salian
shahrizan@bharian.com.my

Skim insurans perniagaan bantu pengusaha hadapi risiko kerugian akibat bencana

PERUSAHAAN kecil dan sederhana (PKS) adalah sektor perniagaan yang paling pesat berkembang di Malaysia.
Dengan anggaran 99 peratus daripada syarikat yang ditubuhkan di negara ini terdiri daripada PKS, adalah jelas sektor itu perlu dikukuhkan lagi bagi membolehkannya menjadi sumber pertumbuhan penting sekali gus mengekalkan momentum perkembangan ekonomi Malaysia.

Segmen PKS juga dikenal pasti sebagai salah satu sektor yang wajar diperhatikan di bawah Model Ekonomi Baru (MEB) apabila kerajaan memberikan tumpuan khusus terhadapnya.

Antara subsektor yang diberi perhatian termasuk bidang pemborongan, peruncitan, hospitaliti serta restoran dengan masing-masing diunjurkan mencatatkan kadar pertumbuhan tinggi dalam beberapa tahun ini.

Perlindungan yang disediakan oleh insurans perniagaan mengurangkan beban pemilik syarikat jika berlaku sebarang insiden yang menyebabkan kerugian besar dari segi kewangan 

Begitupun, tahap kesedaran pengusaha PKS terhadap insurans perniagaan di negara ini masih berada pada paras agak rendah, dengan anggarannya kini kurang daripada 50 peratus.

Kaji selidik oleh sebuah firma penyelidikan terkemuka global mendapati setiap syarikat mempunyai keperluan berbeza untuk asas perniagaan masing-masing bergantung kepada jenis risiko dan saiz perniagaan itu sendiri.
Sebagai contoh, syarikat yang terbabit dalam jual beli barang kemas, makanan dan minuman (F&B), perhotelan dan pengangkutan mempunyai tahap risiko paling tinggi.

Syarikat yang terbabit dalam perniagaan farmasi atau keluli pula mempunyai tahap risiko sederhana manakala syarikat percetakan, dobi, pusat tuisyen dan beberapa jenis perkhidmatan profesional mempunyai tahap risiko yang rendah.

Antara cabaran dan kekangan biasa yang dihadapi oleh syarikat PKS pula antaranya adalah dari segi aliran tunai, bahan mentah, material dan jualan.

Dalam usaha melindungi syarikat daripada masalah lain yang tidak diduga pada masa depan, insurans perniagaan adalah antara senjata ampuh kepada mereka untuk terus berdaya tahan.

Bagaimanakah insurans perniagaan dapat menangani keperluan syarikat PKS?
Dengan adanya insurans perniagaan, sesebuah syarikat itu akan dapat melindungi perniagaan masing-masing daripada sebarang risiko dengan memastikan terdapat perlindungan mencukupi daripada sebarang kecelakaan.

Selain itu, ia juga memberikan perasaan selamat kepada pemilik perniagaan, mengurangkan beban jika berlakunya sebarang insiden yang boleh menyebabkan tahap kewangan terjejas serta membolehkan mereka memberi tumpuan kepada perkara lain yang dapat membantu mengukuhkan asas perniagaan masing-masing.

Meskipun kepentingan mendapatkan insurans adalah jelas di semua peringkat, masih banyak syarikat PKS khususnya di Malaysia yang masih teragak-agak untuk mendapatkannya.

Biasanya, ia adalah disebabkan persepsi salah terhadap insurans kerana kebanyakan pemilik perniagaan menganggap perlindungan insurans membabitkan kos yang mahal.

Sesetengah pula mempunyai tahap kesedaran dan pengetahuan yang masih agak rendah terhadap keperluan mendapatkan perlindungan untuk perniagaan mereka.
Sebagai satu bentuk perlindungan, peranan insurans perniagaan adalah sama di seluruh segmen perniagaan.

Ia bertindak sebagai pelindung dan penyokong kepada perniagaan jika sebarang perkara tidak diingini berlaku.

Walaupun pelanggan sedar mereka mungkin tidak dapat menerima semula keseluruhan pampasan kos yang diinsuranskan, ia masih mustahak bagi membolehkan pemilik perniagaan dapat menampung kerugian yang dialami apabila berlaku sesuatu bencana.

Sesetengah pemilik perniagaan pula sangat menyedari pentingnya mendapatkan perlindungan insurans untuk perniagaan masing-masing, justeru sangat terbuka untuk melabur mendapatkannya.

Ada juga yang menambah nilai perlindungan apabila perniagaan berkembang.
Masa untuk mendapatkan perlindungan pula biasanya bergantung kepada industri dan kestabilan sesebuah syarikat itu sendiri.

Pengusaha PKS yang ditemui Berita Harian baru-baru ini berkata insurans perniagaan menyediakan keselesaan untuk menjalankan kegiatan perniagaan dengan perasaan yang tenang serta dapat merancang keperluan masa depan.

“Perlindungan yang disediakan oleh insurans perniagaan mengurangkan beban pemilik syarikat jika berlaku sebarang insiden yang menyebabkan kerugian besar dari segi kewangan.

“Sebagai pemilik syarikat, kami mampu memberi tumpuan kepada beberapa perkara lain untuk mengembangkan perniagaan tanpa perlu risau mengenai aset kumpulan,” kata Norshahrizam Norazlan.

Pemilik sebuah kilang di Semenyih itu berkata pengusaha PKS sebenarnya mempunyai banyak pilihan untuk mendapat perlindungan mengikut apa yang diperlukan oleh perniagaannya.

“Anda boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada ejen syarikat insurans mengenai premium yang sesuai dengan aset perniagaan. Setiap industri biasanya mempunyai keutamaan dan keperluan yang berbeza antara satu sama lain, maka terpulang kepada pengusaha untuk mendapatkan yang terbaik kepada perniagaan,” katanya.

Pendapatnya itu mengukuhkan lagi bahawa perlindungan untuk perniagaan adalah mustahak, justeru setiap PKS perlu mempunyai polisi pengurusan risiko masing-masing untuk menjamin daya tahan mereka dalam pasaran yang semakin sengit.

Berikutan itu, insurans perniagaan, khususnya perlu dilihat sebagai jaringan keselamatan untuk syarikat dan bukan berfungsi semata-mata sebagai perkakas kewangan. 

No comments: