Friday, August 2, 2013

Bumiputera perlu ceburi industri minyak, gas

KOTA KINABALU 1 Ogos - Kerajaan negeri mahu lebih ramai usahawan bumiputera terutama yang baru berjinak-jinak dalam dunia perniagaan berkecimpung dalam industri minyak dan gas.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Sabah_&_Sarawak/20130802/wb_03/Bumiputera-perlu-ceburi-industri-minyak-gas
Published: August 02, 2013


MUSA Aman (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan dalam Majlis 
Berbuka Puasa dan Solat Tarawih anjuran DPBS dan DPMMS serta 
Perdasama di Hotel Le Meridien di Kota Kinabalu, Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, peniaga bumiputera perlu meneroka potensi perniagaan dalam industri tersebut kerana ia mampu menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negeri.

"Saya yakin dengan pertumbuhan ekonomi pada masa kini, usahawan bumiputera di negeri ini mampu mencapai kejayaan. Memang sebelum ini ada yang menceburi industri minyak dan gas tapi tidak berjaya.

"Tetapi kita harus ingat, kejayaan tidak akan dapat dicapai dengan mudah. Ia memerlukan kegigihan dan iltizam serta pengorbanan tinggi oleh seseorang usahawan itu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis berbuka puasa dan solat terawih anjuran bersama Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah (DPBS), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Sabah (DPMMS) dan Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Yang Dipertua DPBS, Datuk Hasnol Ayub; Yang Dipertua DPMMS, Datuk Awang Buthamam Awang Mahmun dan Yang Dipertua Perdasama, Datuk Ramlee Marhaban.

Dalam majlis itu, Musa turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada Rumah Anak Yatim As-Sakinah, Rumah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, Pusat Dalam Komuniti Baitulmal dan Maahad Tahfiz Al-Quran.

Musa berkata, beliau optimis bahawa lebih ramai lagi usahawan bumiputera berjaya dilahirkan dengan adanya perancangan rapi dan usaha-usaha berterusan menerusi kerjasama dan perkongsian pintar oleh ketiga-tiga dewan perniagaan ini.

"Kita bersyukur kerana nikmat keamanan dan keharmonian, berjaya menjana kepesatan pertumbuhan ekonomi dalam pelbagai sektor.

"Pencapaian ini turut digerakkan oleh para pengusaha dan peniaga bumiputera yang semakin berani menceburkan diri dalam pelbagai sektor dan perniagaan.

"Bagaimanapun, kita tidak harus berhenti dan mudah berpuas hati dengan tahap pencapaian ini. Sebaliknya, program pembangunan ekonomi bumiputera perlu terus digerakkan bagi memastikan taraf ekonomi golongan bumiputera dapat ditingkatkan," ujarnya.

TPPA Akan Tingkatkan Kuasa Tawar Menawar Malaysia

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Seorang pegawai perdagangan berkata penyertaan Malaysia dalam rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) merupakan langkah positif yang membawa petanda baik bagi kedudukan perdagangan negara dalam pasaran antarabangsa.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=967779
Published: August 02, 2013

Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia, Tan Sri Yong Poh Kon, berkata penyertaan Malaysia dalam rundingan-rundingan itu akan meningkatkan kuasa tawar menawar negara dalam perdagangan global.

"Dengan penyertaan 11 negara anggota lain selain AS, ia akan meningkatkan kuasa (tawar menawar) Malaysia kerana kita bukan hanya tawar menawar dengan AS malah dengan negara-negara lain," katanya kepada Bernama pada Hari Terbuka TPPA anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di ibu negara.

Orang ramai di Malaysia pada umumnya bimbang tentang sejauh mana model perjanjian perdagangan TPPA itu boleh memain peranan berkesan dalam menggalakkan perdagangan adil dan Malaysia mungkin mengalami tekanan dan mengalah kepada kuasa politik yang lebih besar.

Pengarah Bahagian Dasar dan Strategi MITI, Isham Ishak, berkata TPP akan memberi manfaat kepada Malaysia kerana ia akan memberi akses bagi produk bebas cukai dan pelaburan baharu.

Meskipun TPP boleh membuka pasaran-pasaran baharu produk Malaysia melalui liberalisasi dan mengurangkan duti ke atas produk, namun terdapat kebimbangan yang ditimbulkan bahawa syarikat Malaysia mungkin tidak dapat bersaing dengan peserta-peserta yang lebih besar dalam pasaran.

Dalam hubungan ini, soal membina keupayaan dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ditimbulkan pada Hari Terbuka itu.

Isu-isu berhubung kos ubat-ubatan yang lebih tinggi dan kesukaran mendapatkan ubat generik juga ditimbulkan.

Seorang usahawan yang enggan memberikan namanya berkata ia berfaedah bagi usahawan "kerana ia boleh membantu meningkatkan perangkaian saya dan dalam proses itu mewujudkan PKS yang lebih berkualiti dan berdaya saing."

Beliau berkata ia boleh membuka peluang pasaran baharu bagi syarikatnya.

"TPP juga menggalakkan persaingan sihat; dan sebagai pengguna, ia boleh memberikan saya lebih banyak pilihan dan pada harga yang lebih berpatutan," katanya.

--BERNAMA

Thursday, August 1, 2013

Bulan Ramadan bulan rezeki buat PKS - Hafsah

KUALA LUMPUR 31 Julai - Pendapatan jualan sepanjang Ramadan memberikan pulangan yang lumayan kepada perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berbeza dari jualan bulan-bulan biasa.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130801/ek_06/Bulan-Ramadan-bulan-rezeki-buat-PKS---Hafsah
Published: August 01, 2013


Pengunjung memenuhi kawasan gerai jualan bagi persiapan menyambut 
Hari Raya Aildilfitri di Bazar Ramadan Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Dalam bulan ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merekodkan sebanyak 7,232 peniaga mengambil bahagian di 96 buah bazar di sekitar Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Datuk Hafsah Hashim berkata, peluang perniagaan di bulan Ramadan meliputi empat sektor iaitu borong dan runcit, pertanian, pengubahsuaian rumah dan makanan serta minuman.

"Pada bulan Ramadan dan menjelang musim perayaan, pembeli akan membuat persiapan dengan membeli baju, kad, kuih dan biskut raya termasuk membuat pengubahsuaian dan menghias rumah.

"Ini sekali gus meningkatkan aktiviti perniagaan dan menjana hasil jualan yang tinggi kepada industri runcit dan pengubahsuaian rumah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini dalam temu bual e-mel.

Hafsah berkata, pengendali makanan dan minuman juga turut menerima manfaat di bulan Ramadan kerana permintaan untuk membeli juadah meningkat sama ada kepada yang beragama Islam dan bukan Islam.

"Pasar tani dan bazar Ramadan juga membuka peluang kepada peniaga dan menjadi pilihan kepada pelanggan dengan harga yang berpatutan," katanya.

49 Francaisor Malaysia Beroperasi Di 51 Negara - Ahmad Bashah

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Sejumlah 49 francaisor Malaysia berjaya mengembangkan perniagaan mereka di 51 negara dengan sejumlah 1,494 'outlet' berjaya dibuka secara keseluruhan, Dewan Negara diberitahu.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130731/ek_15/49-francaisor-Malaysia-operasi-di-51-negara
Published: August 01, 2013

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=967437
Published: August 01, 2013



Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata 10 francaisor tempatan dengan outlet terbanyak di luar negara ialah Nelson (675 outlet), Daily Fresh (481), Mary Brown (58), Bangi Kopitiam (29), Secret Recipe (25), England Optical (21), Old Town White Coffee (21), World Of Fengshui (17), Smart Readers (15) dan Royal Selangor Pewter (14).

"Industri francais walaupun baru 19 tahun diwujudkan di dalam negara dilihat mampu mencatatkan kejayaan yang begitu membanggakan," katanya ketika menjawab soalan Senator Ahamat @ Ahamad Yusop.

Mengenai jenama francais asing yang berdaftar dan menjalankan perniagaan mereka di negara ini, Ahmad Bashah berkata sehingga 10 Julai 2013 jumlahnya ialah 128.

"10 syarikat francais asing teratas yang menjalankan perniagaan di Malaysia ialah 7-Eleven, McDonalds, Kentucky Fried Chicken, pusat pembelajaran dan asuhan kanak-kanak Kumon, Avon, Yamaha Music, Kenny Rogers Roasters, Tutti Fruity, Subway dan Body Shop," jelasnya.

-- BERNAMA