Friday, August 2, 2013

Bumiputera perlu ceburi industri minyak, gas

KOTA KINABALU 1 Ogos - Kerajaan negeri mahu lebih ramai usahawan bumiputera terutama yang baru berjinak-jinak dalam dunia perniagaan berkecimpung dalam industri minyak dan gas.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Sabah_&_Sarawak/20130802/wb_03/Bumiputera-perlu-ceburi-industri-minyak-gas
Published: August 02, 2013


MUSA Aman (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan dalam Majlis 
Berbuka Puasa dan Solat Tarawih anjuran DPBS dan DPMMS serta 
Perdasama di Hotel Le Meridien di Kota Kinabalu, Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, peniaga bumiputera perlu meneroka potensi perniagaan dalam industri tersebut kerana ia mampu menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negeri.

"Saya yakin dengan pertumbuhan ekonomi pada masa kini, usahawan bumiputera di negeri ini mampu mencapai kejayaan. Memang sebelum ini ada yang menceburi industri minyak dan gas tapi tidak berjaya.

"Tetapi kita harus ingat, kejayaan tidak akan dapat dicapai dengan mudah. Ia memerlukan kegigihan dan iltizam serta pengorbanan tinggi oleh seseorang usahawan itu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis berbuka puasa dan solat terawih anjuran bersama Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah (DPBS), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Sabah (DPMMS) dan Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Yang Dipertua DPBS, Datuk Hasnol Ayub; Yang Dipertua DPMMS, Datuk Awang Buthamam Awang Mahmun dan Yang Dipertua Perdasama, Datuk Ramlee Marhaban.

Dalam majlis itu, Musa turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada Rumah Anak Yatim As-Sakinah, Rumah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, Pusat Dalam Komuniti Baitulmal dan Maahad Tahfiz Al-Quran.

Musa berkata, beliau optimis bahawa lebih ramai lagi usahawan bumiputera berjaya dilahirkan dengan adanya perancangan rapi dan usaha-usaha berterusan menerusi kerjasama dan perkongsian pintar oleh ketiga-tiga dewan perniagaan ini.

"Kita bersyukur kerana nikmat keamanan dan keharmonian, berjaya menjana kepesatan pertumbuhan ekonomi dalam pelbagai sektor.

"Pencapaian ini turut digerakkan oleh para pengusaha dan peniaga bumiputera yang semakin berani menceburkan diri dalam pelbagai sektor dan perniagaan.

"Bagaimanapun, kita tidak harus berhenti dan mudah berpuas hati dengan tahap pencapaian ini. Sebaliknya, program pembangunan ekonomi bumiputera perlu terus digerakkan bagi memastikan taraf ekonomi golongan bumiputera dapat ditingkatkan," ujarnya.

No comments: