Wednesday, January 2, 2013

Ebiz1Malaysia sedia ruang untuk siswazah

MYNIC Berhad, agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) menyasarkan untuk melahirkan 10,000 usahawan atas talian (online) dalam kalangan siswazah melalui program barunya, Ebiz1Malaysia.

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ebiz1Malaysiasediaruanguntuksiswazah/Article/index_html
Published: January 02, 2013

Ketua Pegawai Operasi Ebiz1Malaysia, Shahabudeen Jalil berkata, inisiatif terbabit sebenarnya terbuka kepada semua golongan masyarakat untuk berniaga secara online. Namun begitu, pihaknya memberi penekanan khusus kepada golongan siswazah bagi melahirkan lebih ramai usahawan muda dan pelapis bagi masa depan.

“Ebiz1Malaysia akan menyediakan platform percuma bagi peniaga untuk memasarkan produk jualan mereka di sebuah portal khas yang disediakan dan kita juga mahu lebih ramai lepasan siswazah yang memilih untuk menjadi usahawan melalui inisiatif ini.
“10,000 usahawan siswazah online ini juga akan dibekalkan kit usahawan berupa modul pembelajaran, DVD teknik membuka kedai online serta baju-T ebiz1Malaysia untuk mempromosikan portal berkenaan,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur.

Menurutnya, bagi merealisasikan impian ini, Mynic dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi, dijangka mengadakan pameran bergerak bagi melantik dan melatih 2000 siswazah yang akan bertindak sebagai Duta Ebiz1Malaysia. Shahabudeen berkata, duta yang dilatih ini akan mendidik pula rakan mereka mengenai kelebihan menggunakan portal berkenaan untuk menjana pendapatan secara sampingan.

Tuesday, January 1, 2013

Industri perkahwinan lumayan

INDUSTRI perkahwinan bukan macam dulu. Ia kini semakin maju, malah untuk menganjurkan satu kenduri pun mencecah puluhan ribu ringgit. “Semua itu adalah peluang perniagaan yang boleh membawa pulangan lumayan dan tidak harus dilepaskan oleh pengusaha-pengusaha produk perkahwinan," katanya pada majlis pelancaran Ekspo Perkahwinan dan Fesyen Gerbang Cinta Utusan Malaysia di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak, hujung minggu lalu.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20130101/ke_01/Industri-perkahwinan-lumayan
Published: January 01, 2013


Pasangan bakal pengantin mengambil kesempatan mendapatkan perunding 
perkahwinan sempena Ekspo Perkahwinan dan Fesyen Gerbang Cinta Utusan 
Malaysia di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak, baru-baru ini. 

Menurut Hamidah, ekspo tersebut yang pertama kali dianjurkan secara bersama antara kerajaan negeri dan akhbar Utusan Malaysia mampu merancakkan lagi industri produk perkahwinan di negara ini.

Ini kerana katanya, dengan menghimpunkan para penggiat industri perkahwinan di bawah satu bumbung, beliau yakin mampu memberi impak dalam mengembangkan lagi potensi industri tersebut.

“Apa pun saya mengucapkan terima kasih kepada penganjur kerana membuka peluang kepada pengusaha produk perkahwinan sekitar Ipoh ini membawa perkhidmatan mereka ke pasaran yang lebih luas.

“Saya juga amat berharap jika acara ini diadakan lagi pada masa depan ia akan disertai oleh lebih ramai peserta dan pengunjung," jelasnya.

Dalam pada itu selepas Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC), Stadium Indera Mulia, di Ipoh menjadi lokasi kedua Ekspo Perkahwinan dan Fesyen Gerbang Cinta Utusan Malaysia.

Ekspo selama tiga hari dari 28 hingga 30 Disember itu berjaya menghimpunkan 60 pengusaha produk perkahwinan daripada katering, pelamin, kad kahwin hinggalah kepada cenderamata dan kanopi yang rata-ratanya beroperasi di Ipoh serta kawasan sekitarnya.
Dengan kehadiran pengunjung yang dikatakan mencecah 25,000, Pengarah Urusan Dios Astana Bridal, Zaidi Osman tidak menolak kemungkinan untuk menjadikannya sebagai acara tahunan di Ipoh pada masa akan datang.

Katanya, sebagai pengendali ekspo pihak Dios Astana Bridal melihat industri produk perkahwinan mempunyai potensi yang besar di bandar raya tersebut.

“Menerusi pemerhatian kami, di Ipoh amat jarang diadakan ekspo perkahwinan sebegini, justeru apabila ia diadakan kami mendapat maklum balas bahawa ia amat memberi manfaat terutama buat pasangan yang mahu mendirikan rumah tangga.

“Boleh dikatakan majoriti pengusaha butik pengantin mahupun katering di sini baru kali pertama menyertai pameran dan mereka belum faham tentang karakter pengunjung serta apa yang dimahukan.

“Bagaimana pun ia bukanlah menjadi satu masalah kerana kami sebagai pihak pengendali ekspo sentiasa bersedia membantu memberikan ilmu yang sepatutnya.

“Misalnya , para pengusaha katering sepatutnya menyediakan makanan contoh untuk dirasa oleh pengunjung sebagai cara menambat hati agar dapat memeteri urus niaga di situ juga," katanya.

Sebagai pengusaha produk perkahwinan yang berpengalaman, Zaidi percaya melalui strategi pemasaran yang betul seperti dengan menyertai ekspo seperti ini, industri perkahwinan sememangnya memiliki masa depan yang cukup menyakinkan.

Kelebihan itu katanya, harus direbut oleh pengusaha bumiputera memandangkan perkahwinan orang Melayu biasanya lebih berskala besar berbanding bangsa lain.

“Adat perkahwinan orang Melayu melibatkan banyak perkara daripada pelamin, makanan, hantaran hinggalah kepada segala macam bentuk cenderamata.

“Semua itu membuka kepada peluang perniagaan kerana apabila ada permintaan sudah tentu ada penawaran," katanya.

Sementara itu salah seorang peserta Ekspo Perkahwinan dan Fesyen Gerbang Cinta Utusan Malaysia, Nur Fatma Zakaria dari Nurul Izzah Catering berkata, ini merupakan penyertaan kedua syarikatnya selepas pameran di Putrajaya.

“Kami mampu menerima tempahan dari seluruh Semenanjung Malaysia kecuali di Terengganu dan Kelantan, jadi kami berharap lebih jauh kami pergi dengan pameran ini maka lebih banyak pendedahan kepada syarikat kami.

“Lebih menarik melalui ekspo ini kami dapat bertemu pelanggan yang berpotensi secara terus," katanya yang mengakui ramai telah merasai kesedapan nasi Arab yang popular daripada Nurul Izzah Catering.

Seorang lagi pengusaha katering, Md Yusof Adam dari Ad Catering and Canopy mengakui merupakan penyertaan pertamanya dalam ekspo sebegini.

“Saya begitu teruja dengan ekspo ini kerana sambutan sangat menggalakkan, insya-Allah saya akan menyertai lagi ekspo akan datang," katanya yang berjaya mendapat beberapa tempahan bagi majli perkahwinan pada 2013.

Sementara itu Zaid Sulaiman dari Zaha Zaha Wedding Planner, juga mengakui ini kali pertama terlibat dalam ekspo yang berskala besar.

Baginya, ia satu strategi pemasaran yang efektif kerana dapat bertemu secara langsung dengan bakal pelanggan.

“Alhamdulillah setakat ini seramai tujuh pelanggan telah menyatakan persetujuan mengambil Zaha Wedding Planner sebagai perunding perkahwinan mereka awal tahun 2013 ini.

“Sebelum ini butik saya dipromosikan dari mulut ke mulut dan promosi hanya tertumpu di kedai sahaja.

“Disebabkan sambutan menggalakkan menerusi ekspo ini saya turut menawarkan hadiah bunga segar percuma kepada pengantin yang menyatakan persetujuan di ekspo ini," kata Zaha yang juga menjadi penaja hiasan pentas sepanjang tiga hari ekspo berlangsung.

Pengurus Butik Pengantin Hafiqa, Nor Zaitul Akmar Norazami percaya, ekspo perkahwinan sebegini mampu memberi impak positif pada perniagaannya.

“Butik saya baru saja dibuka sebulan lalu, pameran ini memberikan lebih pendedahan kepada ramai orang tentang butik saya.

“Rasa teruja dan sedikit gementar kerana kali pertama berhadapan dengan lebih ramai pelanggan pada satu masa," katanya.

Sementara itu salah seorang pengunjung, Nor Amylia Burhanuddin, 27, yang hadir bersama tunangnya, Azrin Azman, 29, berkata, pameran ini amat menyenangkan mereka yang masih mencari kelengkapan pengantin.

“Ini kali kedua saya ke ekspo perkahwinan, kali pertama di PICC saya pergi dan saya dapati ia amat menyenangkan kami tanpa perlu ke satu satu kedai yang mengambil masa lebih lama serta memenatkan, terima kasih kepada pihak penganjur," ujarnya.

Sementara itu selain gerai jualan dan pameran, ekspo turut dimeriahkan dengan pelbagai acara sampingan termasuk pertandingan pelbagai gubahan, demonstrasi pemakaian tudung dan solekan, persembahan kumpulan marhaban dan persembahan artis popular.

Ia turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah oleh pihak penganjur.

Ekspo seterusnya akan diadakan di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka pada 18 hingga 20 Januari ini.

Jadi tauke aprikot

PENGEDAR produk berasaskan biji aprikot, Mutiara Global Marketing Sdn Bhd bakal melahirkan 1,400 usahawan baru melalui Program Usahawan Aprina yang akan dilancarkan mulai bulan ini. Pengarah Urusannya, Mohamed Fahmee Ariff berkata, syarikatnya mengeluarkan dua produk berasaskan biji aprikot iaitu kopi Aprina serta makanan kesihatan harian, Aprina Wellness For All sejak setahun lalu dan dipasarkan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Jaditaukeaprikot/Article/index_html
Published: January 01, 2013

“Bagi 2013, kami mahu memasarkan produk secara agresif dengan melancarkan program Usahawan Aprina dengan memberi peluang kepada orang ramai menjalankan perniagaan sendiri.

“Modal permulaan antara RM1,000 dan RM10,000 bergantung kepada kuantiti produk yang diperlukan. Namun bagi yang ingin memulakan perniagaan dengan modal RM5,000 ke atas, kami akan bekerjasama dengan tabung Amanah Ikhtiar Malaysia untuk memberikan pinjaman sebagai modal permulaan,” katanya kepada Bisnes Metro di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, syarikatnya menyasarkan jualan 400,000 kotak tahun depan dengan nilai jualan mencecah RM3.5 juta disokong program terbabit.

“Kopi Aprina mengandungi khasiat pelbagai jenis buah dan herba. Selain biji aprikot yang mampu menangani penyakit barah, kopi ini juga diadun dengan herba manna iaitu sejenis getah Arab yang mengandungi prebiotik, koko, madu dan herba ashwaganda. Ia mampu menyingkirkan toksid dalam badan serta mengimbangkan kandungan gula dalam darah,” katanya.

“Makanan tambahan Aprina pula, mengandungi buah tinn, afron, habatus sauda, delima, kolagen, rumpai laut, gingko, kurma, kismis dan madu selain biji aprikot bertindak sebagai antibodi terbaik untuk pertahanan badan serta anti kanser,” katanya.

Mohamed Fahmee berkata, pihaknya mencari dana untuk membuka kilang pengeluaran di Selangor bernilai RM5 juta dan mereka yang berminat menyertai usahawan Aprina boleh menghubunginya melalui e-mel di mutiara_coffee@yahoo.com atau mutiaracoffee@gmail.com.

Janariah gigih ternak udang

TAWAU 31 Dis. - Menyedari udang putih mendapat permintaan baik di pasaran, seorang wanita muda gigih mengusahakan penternakan udang kolam di Kampung Tanah Merah, Merotai Besar di sini.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Sabah_&_Sarawak/20130101/wb_01/Janariah-gigih-ternak-udang
Published: January 01, 2013


Hamisa Samat (tengah) bersama pekerja perusahaan udang 
Kuralas di Kampung Tanah Merah, Merotai Besar, Tawau

Janariah Kurus, 30, mengambil keputusan melibatkan diri secara serius menternak udang sejak setahun lalu. Sebelum itu, perniagaan keluarganya yang diusahakan sejak 2003 lebih memfokuskan kepada ikan air tawar.

Namun, bermula tahun lalu beliau memilih menternak udang melalui bantuan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Ko-Nelayan dan pinjaman daripada Tabung Ekonomi Kemajuan Usahawan Nasional (TEKUN) sebanyak RM30,000 selain wang simpanan keluarganya.

"Pada masa ini kami mempunyai lima petak kolam udang dan hanya akan melakukan penuaian tiga kali setahun. Sebabnya, anak-anak udang itu memerlukan masa 90 hari untuk membesar. Setiap petak akan menghasilkan 1.5 tan udang sekali tuaian," jelasnya.

Menurut Janariah, minat yang mendalam menyebabkan beliau nekad terjun ke bidang akuakultur biar pun tidak memiliki pengalaman yang mendalam sebagai seorang penternak udang.

"Semuanya bermula daripada minat. Di samping itu, saya juga rajin bertanya kepada pengusaha-pengusaha yang menternak udang kolam di sekitar Daerah Merotai dan Kunak," ujarnya.

Janariah menambah, dalam perniagaan seperti ini amat susah sekiranya seseorang pengusaha itu tidak mempunyai modal mencukupi, selain tapak yang bersesuaian khusus berdekatan sungai.

"Paling penting perlu ada tapak, bekalan elektrik dan perairan di situ. Menternak udang kolam di Merotai tidak susah kerana ada Sungai Merotai berhampiran," katanya.

Daripada segi penjagaan terutama kualiti air, Janariah berkata, dia menggunakan penguji kualiti air iaitu (ammonia test) bagi menentukan sama ada air kolam itu perlu ditukar.

"Sekali menuai saya boleh mendapat sebanyak 18 kilogram (kg) dan pernah mencecah 25 kg. Harga jualan adalah RM13 satu kg.

"Itupun, ada juga pembeli yang membeli secara sikit-sikit. Semua bergantung kepada belian pelanggan.

"Purata sebulan tidak menentu kerana saya membuat perkiraan dalam tempoh tiga bulan sekali. Pendapatan bersih selepas ditolak semua kos adalah kira-kira RM4,000. Perusahaan ternak ini kalau diusahakan bersungguh-sungguh pasti berjaya," katanya.

Kejayaan penternakan kolam udang itu juga memberi idea baru kepada Janariah untuk meneroka satu lagi perniagaan iaitu inap desa berdekatan tapak ternakan udang itu.

"Melalui inap desa, pelancong diberi peluang melawat Kolam Kuralas ini, sambil menikmati pemandangan dapat menjamu selera memakan udang," jelasnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat yang melawat projek ternakan udang air tawar itu yakin usaha peserta yang terdiri daripada golongan muda itu akan menjadi pencetus semangat kepada kumpulan lain meneroka bidang itu.

"Kami gembira kerana kumpulan peserta ini telah berjaya membawa perubahan kepada tanah yang terbiar kosong dan sekali gus menambah pendapatan ahli keluarga mereka," katanya.

Tambah beliau, dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat terutama di kawasan luar bandar, kerajaan melalui agensi-agensinya begitu giat menggalakkan masyarakat menyertai pelbagai projek yang dilihat berpotensi untuk dibangunkan.

"Untuk memastikan kejayaan, kerajaan bukan sahaja membantu daripada segi penyediaan modal awal, malah kerja-kerja teknikal seperti kesesuaian lokasi, baja, benih dan sebagainya turut sama diambil berat.

"Jika sebelum ini projek-projek baru luar bandar banyak tertumpu kepada penternakan ikan air tawar, tetapi kebelakangan ini, permintaan yang tinggi terhadap udang akuakultur telah mewujudkan satu lagi peluang pekerjaan lumayan kepada masyarakat kampung, khususnya kepada golongan muda," katanya.