Thursday, January 3, 2013

Kraftangan Malaysia Cawangan Sabah Raih Hasil Jualan Kraf Hampir RM30 Juta Tahun Lepas

KOTA KINABALU, 2 Jan (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM) Cawangan Sabah meraih hasil jualan kraf hampir RM30 juta melalui pelbagai program promosi kraf di negeri ini sepanjang tahun lepas, kata Pengarahnya, Mohd Latif Dirun.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsbusiness.php?id=918931
Published: January 03, 2013

Katanya itu adalah hasil program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) dengan jumlah jualan keseluruhan RM26 juta, program promosi kraf tahunan di Lintasan Deasoka yang terletak di tengah-tengah Bandaraya Kota Kinabalu (sekitar RM600,000), program promosi kraf di 1Borneo, Likas (sekitar RM800,000) dan selebihnya hasil jualan usahawan kecil-kecilan.

Mohd Latif juga yakin pihaknya akan mencapai hasil jualan promosi kraf sehingga RM3 juta, khususnya program promosi kraf tahunan di Lintasan Deasoka dan program promosi kraf di 1Borneo, tahun ini.

Beliau berkata keyakinan itu adalah berdasarkan sambutan yang amat menggalakkan terhadap kempen promosi produk kraf anjuran Kraftangan Malaysia yang menyaksikan hasil jualan keseluruhan tahun lepas mencecah hampir RM1.4 juta.

Bagi mencapai sasaran itu, Mohd Latif berkata pihaknya bercadang memperluaskan kempen promosi kraf ke peringkat daerah yang dikenal pasti berpotensi untuk memasarkan produk itu.

-- BERNAMA

Wednesday, January 2, 2013

DDEC catat jualan RM100 juta 2012

Design Development Centre (DDEC) mengunjurkan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang mengguna perkhidmatannya mencatat jualan RM100 juta pada 2012 berbanding RM68 juta tahun sebelumnya. 

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/DDECcatatjualanRM100juta2012/Article
Published: January 02, 2013

Peningkatan itu adalah sejajar pertambahan bilangan PKS yang menggunakan khidmat agensi itu untuk membantu mengukuhkan jenama dan persembahan produk serta perkhidmatan mereka tahun lalu.
Ketua Eksekutif, Datuk Abd Rahim Hassan, berkata pada 2012 sebanyak 2,450 syarikat PKS mendapatkan perkhidmatan DDEC, berbanding 1,357 pada tahun sebelumnya.

“Maklumat mengenai peningkatan jualan syarikat PKS terbabit diperoleh melalui satu kaji selidik DDEC, yang mana PKS terbabit akan melaporkan peningkatan jualan mereka selepas menerima perkhidmatan pembaikan jenama dan persembahan produk daripada DDEC.

“Bersandarkan pembabitan lebih banyak PKS yang menggunapakai perkhidmatan DDEC pada tahun 2012, saya yakin peningkatan jualan yang akan dilaporkan melebihi RM100 juta,” katanya kepada BH di Kuala Lumpur.

Tahun ini, DDEC menyasar untuk membantu 3,200 PKS bagi meningkatkan lagi kebolehpasaran produk dan perkhidmatan mereka.

Tindakan agresif
Untuk mencapai sasaran itu, agensi itu berhasrat untuk bertindak secara lebih agresif dalam mempromosikan perkhidmatannya dalam kalangan usahawan PKS di negara ini.

Abd Rahim berkata, antara acara yang akan dianjurkan adalah pameran bersama agensi reka bentuk; seminar dan forum reka bentuk yang menampilkan panel daripada dalam dan luar negara serta bengkel reka bentuk kepada usahawan PKS dan orang ramai.

“Bagi mempromosikan perkhidmatan DDEC, tumpuan akan disasarkan kepada usahawan PKS melalui program pengiklanan bersiri penjenamaan dalam akhbar dan majalah, media elektronik dan media sosial.

“Tindakan pengiklanan agresif ini sejajar dengan kajian semula terhadap sasaran awal kami untuk membantu meningkatkan daya saing 6,000 usahawan PKS menjelang 2015,” katanya.

Dalam pada itu, DDEC berkata ia hanya mengenakan bayaran minimum bagi membantu usahawan PKS dalam meningkatkan jenama dan menyediakan rekaan inovatif pembungkusan produk mereka.

Program SIP SME Corp bantu PKS

SME Corporation Malaysia (SME Corp) sedang berbincang dengan Suruhanjaya Sekuriti (SC) bagi memperkenalkan Program Pelaburan PKS (SIP) yang bakal menjadi instrumen pembiayaan peringkat awal terbaru kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan. 

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/ProgramSIPSMECorpbantuPKS/Article
Published: January 02, 2013

pix_gal0

Menerusi program itu, SME Corp akan menyelaras penubuhan syarikat pelaburan yang akan menjana modalnya daripada pasaran modal, dan ia kemudian digandakan menerusi pinjaman daripada kerajaan.
Modal itu akan disalurkan oleh syarikat pelaburan berkenaan kepada PKS sebagai pembiayaan dalam bentuk pinjaman, ekuiti atau kedua-duanya.

Ketua Eksekutif SME Corp, Datuk Hafsah Hashim, berkata pihaknya menyasarkan untuk memperkenalkan program itu menjelang April ini, selepas dibentang dan diluluskan kerajaan menerusi Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan.

Beliau berkata, jika diluluskan, ia bakal meningkatkan sumbangan industri modal teroka dalam menyokong PKS baru yang berdepan kesukaran mendapatkan pembiayaan sektor kewangan.

Perincikan butiran
“Masih ada beberapa langkah atau butiran yang perlu diperincikan terlebih dulu dan ia akan mengambil masa kerana mungkin memerlukan pindaan undang-undang yang berkaitan selain membabitkan banyak pihak terutama SC dan Bank Negara Malaysia (BNM).
“Pada masa depan, kami mahu pihak industri menjadi pelabur kepada PKS baru dan bukan lagi hanya bank atau syarikat kewangan. Ini adalah antara strategi utama Program Berimpak Tinggi (HIP) di bawah Pelan Induk PKS (2012 –2020),” katanya kepada BH dalam satu pertemuan di Kuala Lumpur.

Pelan Induk PKS menggariskan 32 inisiatif, termasuk enam HIP yang bertindak sebagai pengubah cara (game changer) dalam industri bagi mencapai sasaran sumbangan PKS kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 41 peratus menjelang tahun 2020 berbanding 32 peratus pada 2010.

Pelan Induk itu menerima peruntukan RM30 juta menerusi Bajet 2013 turut merangkumi langkah membangunkan perusahaan mikro kumpulan pendapatan 40 peratus terendah serta langkah khusus bagi pembangunan PKS di Sabah dan Sarawak.

Mengulas konsep SIP, Hafsah berkata, syarikat pelaburan yang bakal dibangunkan di bawah program itu akan memperoleh manfaat menerusi agihan keuntungan daripada pegangan ekuiti dan bayaran balik hutang, manakala PKS pula memperoleh modal permulaan, nasihat dan bimbingan kepakaran.

Kawal selia SC
Katanya, bagi menjaga kebajikan PKS, syarikat pelaburan itu akan dikawal selia oleh SC dan pengawal selia pasaran kewangan yang lain supaya operasinya lebih telus dan diyakini.

“Kami sedang memperincikan konsep program, syarat, kriteria, struktur pelantikan dan penilaian syarikat pelaburan ini. Malah SC akan mengadakan satu set peraturan khusus bagi memastikan kelayakan syarikat pelaburan terbabit.

“Modal pembiayaan yang disalurkan kerajaan adalah berbentuk pinjaman yang perlu dibayar balik, namun butiran lanjut berhubung tempoh pembayaran dan kadar pinjaman masih dikaji serta akan diumumkan apabila dimuktamadkan kelak.

“Program seumpama itu dilaksanakan dengan jayanya di Amerika Syarikat (AS) meliputi pelbagai sektor,” katanya.

Perolehan sektor perbankan dijangka tumbuh 10% - OSK

KUALA LUMPUR 1 Jan. - OSK Research menjangka perolehan agregat sektor perbankan akan tumbuh pada kadar sederhana lapan hingga 10 peratus pada 2013.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130102/ek_04/Perolehan-sektor-perbankan-dijangka-tumbuh-10----OSK
Published: January 02, 2013

Dalam satu nota hari ini, ia berkata, ramalan pinjaman tidak berbayar yang kecil, bersama-sama dengan potensi kejutan meningkat daripada pinjaman perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang lebih kukuh dan bermargin tinggi berikutan kesan limpahan projek Program Transformasi Ekonomi (ETP), boleh tanpa dijangka meningkatkan unjuran sektor 2013.

OSK berkata, ia lebih memilih bank-bank yang mempunyai kekuatan pengedaran dan pendedahan yang kukuh kepada hutang korporat berkaitan ETP dan sukuk.

"Kami mengekalkan saranan beli lebih banyak bagi sektor itu," katanya, menambah belian utama pilihannya ialah Public Bank, Maybank dan CIMB.

Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan pinjaman industri terus merosot, jatuh 60 mata asas kepada 11.2 peratus tahun ke tahun pada November 2012 berbanding 11.9 peratus tahun ke tahun pada Oktober 2012.

Ini disumbangkan oleh pertumbuhan pinjaman bagi harta bukan kediaman, harta kediaman, pembelian sekuriti dan peminjaman kepada sektor pembinaan dan lain-lain, katanya.

"Segmen pinjaman perniagaan, yang mana pertumbuhan merosot daripada 12.2 peratus pada bulan sebelumnya kepada 11 peratus pada November adalah punca kepada penguncupan ketara dalam permohonan dan kelulusan pinjaman.

"Kemerosotan dalam pinjaman perniagaan adalah berikutan pembayaran balik yang besar dibuat pada bulan-bulan itu, terutamanya daripada sektor kewangan, insurans dan pertanian," katanya. - BERNAMA